Saturday, 6 April 2013

Cerpen: Kocek Masa

Rabu, 2:57 malam.
Habis berkerja. Habis berdrama. Habis berpura. Segala sifat kontra aku sudah habis ditaburkan kepada klien-klien aku demi helaian kertas. Sudah aku hampar sepenuhnya hijab di hadapan semua. Sudah aku sorok-rapikan semua maklumat yang sebetulnya. Sudah aku pusing-belitkan semua kisah yang diminta oleh klien-klien aku. Supaya mereka, sipenerima, menerima kisah-kisah dongeng dari sipemberi seperti aku. Supaya dapat aku penuhkan hasrat klien-klien aku untuk aku penuhkan kocek aku. Kocek yang tak pernah dan tak akan penuh bagi seorang manusia. Tapi aku tidak kesah. Tidak peduli. Persetankanlah nilai moral. Sebab aku tahu. Aku pasti. Ramai lagi umat seperti aku. Umat yang hanya pentingkan penuhnya kocek mereka tanpa memikir nasib yang bakal menimpa. Biarkan. Malas difikirkan.
Cuba untuk rehatkan diri untuk hadap esok hari. Hari yang pasti akan penuh dengan kedustaan. Baring. Lena.


Terdengar pekikan. Aku tersentak, tersentap. Tersentap dari mimpi. Aku lihat isteriku menangis sambil memandang ke arah kereta yang dipakir di garaj hadapan. Merah. Pecah. Marah. Ya, aku sedang marah. Sibangsat mana yang berhati kering untuk lakukan benda ni terhadap orang seperti aku. Semulia aku. Sedarjat aku. Sedikit respek terbit. Arghhhh. Ternampak kumpulan fail. Kenal sangat akan fail tersebut. Fail yang telah menaikkan jawatan aku dan fail itu juga boleh menurunkan darjat aku. Darjat yang telah aku bina sekian lama. Cepat-cepat aku ambil, sorok dan terus ke bilik bacaan. Ya, aku tinggalkan isteri aku. Aku hilang rasional seketika. Siapa-siapa juga akan begitu jika mereka di tempat aku. Dalam bilik, selongkar fail. Aku kenal benar dengan fail ini. Fail kes yang termustahak yang pernah aku uruskan. Dan juga penipuan yang paling dosa yang pernah aku laksanakan. Terselit nota ringkas. Rapi tulisannya.


‘Terkejut? Kau ingat dah cukup tebal hijab yang kau ada. Dah cukup rapi apa yang kau sorokkan. Dah cukup belit kisah yang kau taburkan. Kau silap. Sebelum hilang percaya tiap-tiap manusia dalam negara ini, baik kau buat sesuatu. Sesuatu yang mana tiap-tiap manusia dalam Negara ini patut tahu.
Oh ya. Lupa perkenalkan diri. Aku ialah penjaga kocek masa. Datangnya aku untuk memberi gambaran masa depan. Memberi amaran kepada kau. Supaya kau jelas tentang nasib depan kau. Faham?’


Dunia aku kelam. Gelap. Terdengar pekikan. Sekali lagi. Tapi lebih dekat, lebih bingit. Buk! Aku tergolek ke lantai. 
“Laaa. Awat abang tidoq dekat sofa ni ha. Malam tadi balik pukul berapa. Awat tak kejut saya”.                              


Khamis, 2:57 petang.
Sir Maikel Afgal telah membuat satu kenyataan tergempar dimana beliau ingin meletak jawatan sebagai ketua polis negara. Serta merta.


Jumaat, 2:57 petang.
Setainli MakDonal telah membuat satu kenyataan tergempar dimana beliau ingin meletak jawatan sebagai presiden negara. Serta merta.





Nota: Cerpen: Kocek Masa ni ditampilkan dalam ZineSatuMalam: Kocek. Siapa-siapa yang ingin muat turun zine tersebut bolehlah ke sini. Bersama kita hargai karya tempatan.

No comments:

Post a Comment